Saturday, January 19, 2008

Pemberian Barang Hantaran Mengikut Adat Melayu

DALAM adat atau majlis pertunangan mahupun perkahwinan Melayu, membawa serta membalas barang hantaran, adalah satu kemestian antara kedua-dua belah pihak lelaki dan perempuan. Selain memenuhi adat tradisi dan syarat untuk mengikat dua hati yang ingin disatukan, berbalas-balas dulang hantaran antara kedua-dua pihak itu turut dianggap sebagai simbolik untuk mengukuhkan lagi perhubungan yang terjalin.


Barang hantaran adalah hadiah yang berupa wang atau mas kahwin dan biasanya diiringi barang lain seperti manisan, buah-buahan dan pakaian. Lebih unik dan istimewa, setiap barang hantaran itu akan digubah cantik serta penuh daya kreativiti sebelum diletakkan di atas dulang yang beralas cantik dan dihiasi indah.


Tiada had dalam menetap jumlah barang hantaran, tetapi kebiasaannya pihak perempuan akan menambah dua dulang lebih daripada pihak lelaki. Misalnya, jika pihak lelaki membawa tujuh dulang, pihak perempuan pula mestilah membalasnya dengan sembilan dulang.


Perunding dan penggubah barang hantaran perkahwinan, Rose Sury’s dari Kota Seriemas, Nilai, Negeri Sembilan, Rosuri Abas, berkata pada masa kini membawa dan membalas barang hantaran bukan saja bertujuan melengkapkan adat budaya, tetapi juga menyerikan lagi acara yang dilangsungkan sama ada majlis pertunangan atau pun perkahwinan.


Beliau berkata, bersesuaian dengan arus perubahan moden, pemberian barang hantaran antara kedua-dua belah pihak pada masa kini tidaklah terlalu terikat dengan syarat dan adat yang telah ditetapkan sebelum ini. Sebaliknya, apa yang lebih penting kedua-dua belah pihak perlu saling muafakat dan berusaha memenuhi hati masing-masing ketika membawa dan membalas barang hantaran berkenaan.


“Jika dulu, pasangan sering ditekankan tidak membawa dan memberi barang hantaran dalam jumlah yang genap. Tetapi kini, soal jumlah genap atau ganjil bukan persoalan besar bagi kebanyakan pasangan. Begitu juga tambahan dua dulang lebih yang perlu diberikan pihak perempuan kepada pihak lelaki tidak lagi menjadi syarat utama.


“Sebab itulah kadang-kadang kita lihat hari ini, dulang hantaran yang diberi dan dibalas, sama banyak antara pihak perempuan dan lelaki. Mungkin ia lebih adil dan dapat memuaskan hati kepada kedua-dua belah pihak,” katanya.


Rosuri yang sudah 10 tahun menggubah hantaran dan menawarkan perkhidmatan tempahan membuat gubahan berkata, hari ini antara barang hantaran wajib daripada pihak lelaki kepada perempuan biasanya adalah hantaran wang mas kahwin, telekung dan sejadah, alat solek, manisan serta pakaian.


Bagi pihak wanita kepada lelaki pula, barang hantaran yang dibalas tidak jauh bezanya kecuali tiada wang mas kahwin diberikan.


Mengenai gaya gubahan katanya, pada masa kini kebanyakan pasangan lebih senang menempah rekaan hantaran yang ringkas, tetapi mampu menonjolkan daya kreativiti. Gubahan gaya ringkas itu khususnya yang membabitkan seni rekaan melipat seperti telekung, sejadah dan tuala.


“Dulu barang hantaran seumpama itu digubah menjadi pelbagai bentuk seperti buah-buahan, bunga, masjid, menara dan sebagainya. Tetapi kini kebanyakan pasangan lebih gemar gubahan yang mampu menonjolkan gaya korporat dan abstrak. Untuk itu, seni lipatan bukan menjadi keutamaan,” katanya.


Perbezaan ketara lain dalam pemberian barang hantaran ialah amalan berdasarkan tema perkahwinan yang sudah ditetapkan. Misalnya, jika tema yang dipilih mewajibkan rona merah jambu, maka barang hantaran juga perlulah digubah menggunakan warna demikian.
Rosuri berkata, selain tema yang menekankan pilihan warna, ada juga yang pasangan menetapkan konsep tertentu untuk rekaan gubahan hantaran seperti tradisional, nusantara, Victoria dan juga gaya Inggeris.


Pilihan mengikut konsep dan warna sememangnya ada kelebihan dan keistimewaan tersendiri kerana ia lebih teratur, tampak seragam dan menyerlahkan lagi hantaran.
Misalnya, jika memilih gaya Inggeris sudah tentu gubahan hantaran lebih memperlihatkan warna lembut dan segar. Begitu juga dengan gaya nusantara, akan memperlihatkan gubahan bercirikan klasik dan semula jadi.


“Namun, untuk menepati pemberian barang hantaran pihak lelaki kepada wanita, gubahan dan barangan dipilih perlulah mengambil kira beberapa aspek tertentu termasuk, dari segi warna, gaya rekaan dan penggunaan bahan lain seperti reben dan renda yang boleh membangkitkan keindahan rekaan gubahan.


“Jika daripada pihak lelaki kepada wanita barang hantaran yang diberi perlulah menonjolkan gaya feminin yang menepati jiwa orang menerimanya dan begitulah sebaliknya. Untuk itu, pihak lelaki bolehlah memilih warna sesuai seperti merah jambu, krim dan ungu. Penggunaan renda dan riben memang sesuai sekali untuk melambangkan kelembutan jiwa nurani wanita.
“Untuk memberi pihak lelaki pula, pihak wanita pula memilih gaya maskulin dan warna paling sesuai untuk barang yang ingin dijadikan hadiah ialah warna bumi, biru dan ungu gelap. Seandainya, kedua-dua pihak inginkan rona barang hantaran yang sama, pastikan warna muda adalah untuk wanita, manakala pihak lelaki menerima warna tua,” katanya.


Beliau berkata, dulu kerja menggubah barang hantaran dibuat secara beramai-ramai bagi mengeratkan tali persaudaraan, tetapi kesibukan masa menyebabkan kebanyakan pasangan hari ini lebih suka menempah dan mengupah individu yang mahir membuatnya. Malah, ada yang menyerahkan bulat-bulat kepada perancang perkahwinan untuk menyediakannya kerana tidak mahu fikiran berserabut menjelang hari bahagia, di samping ketiadaan peralatan dan kelengkapan seperti dulang serta alas bagi memastikan barang hantaran tampak sempurna.
.
FAKTA:Pemberian barang hantaran mengikut adat Melayu


· Pada zaman silam ketika adat menghantar tanda dan adat menghantar mas kahwin dan belanja dilakukan oleh pihak lelaki, biasanya dibawa bersama cincin emas atau berlian. Tanda itu biasanya diiringi oleh hadiah yang lain kepada bakal pengantin perempuan, seperti kain, sarung, selipar atau kasut, gula-gula, buah-buahan, dan sebagainya.

· Penghantaran tanda biasanya disertai dengan majlis kenduri oleh kedua-dua keluarga. Sesetengah orang juga menyampaikan cincin dan hadiah yang lain dengan cara mengadakan perarakan ke rumah bakal pengantin perempuan.

· Penerimaan cincin dan hadiah iringan secara tradisi bermaksud, penerimaan syarat perkahwinan yang berikut antara kedua-dua pihak;
· Jika lelaki itu, atas apa-apa alasan, gagal untuk mengahwini anak perempuan yang ditunangkan, cincin pertunangan serta hadiah yang lain tidak boleh dituntut balik.
· Jika perempuan itu, atas apa-apa alasan kecuali kematiannya, gagal memenuhi tujuan pertunangan itu, maka semua hadiah, termasuk cincin pertunangan, harus dikembalikan kepada lelaki pada kadar sekali ganda, baik dari segi bilangan atau nilainya.

Di antara barang yang termasuk dalam kategori wajib bagi melengkapkan sesuatu hantaran adalah seperti berikut, dan hantaran tersebut akan turut sama diarak dengan mempelai sebelum bersanding.

· Wang mas kahwin dan belanja (ada yang menyerahkan wang mas kahwin itu terus ke tangan isteri selepas selesai upacara akad nikah) yang diletakkan di dalam dulang atau batil bertudung diperbuat daripada perak atau tembaga putih.
· Sebentuk cincin permata berbatu intan atau ber1ian yang diletakkan di dalam cembul atau kotak perak.
· 2 pasang kain dan sehelai baju dari jenis yang cukup baik dan berkualiti, dilipat di dalam talam perak atau tembaga putih bertudung.
· Beberapa jenis kuih juadah, yang setiap satunya diletak di dalam sebuah pinggan besar bertudung dan dihias beralaskan talam.
· Beberapa jenis buah-buahan yang segar disusun di dalam bekas atau talam ditudung.
· Tepak sirih atau puan perak atau tembaga putih yang diisi lengkap.
· Satu atau dua perecik atau perenjis air mawar dan dua kaki dian atan lilin.
Hantaran perkahwinan tinggi: Apakah penyelesaiannya?


Assalamualaikum wbt.

‘Duit hantaran?Ish, mana lagi nak cari duit sebanyak itu. Kita ni pun gaji hanya cukup-cukup makan..’

‘Pinjam daripada ceti, tak pun daripada ah long, mungkin boleh selesaikan masalah aku ni,’


Itu antara dialog-dialog yang mungkin kita akan dengar daripada mulut sang lelaki yang sedang berkira-kira untuk melangsungkan perkahwinan. Seringkali juga kita dengar bermacam-macam gaya keluhan lelaki ini, menunjukkan betapa susahnya mendirikan rumah tangga pada masa kini. Apakah yang menyebabkan hantaran perkahwinan yang terlalu tinggi ini? Ada yang berpendapat, kos sara hidup kini yang semakin meningkat, menyebabkan ayah dan ibu pihak perempuan memikirkan soal ini. Namun, apakah itu benar? Adakah Islam pernah menyuruh penganutnya meletakkan hantaran yang tinggi?Islam hanya mewajibkan pembayaran mas kahwin sebagai syarat wajib seseorang lelaki untuk menikahi perempuan. Mas kahwin di Malaysia tidaklah terlalu membebankan. Ini kerana setiap negeri di Malaysia telah pun menetapkan nilai mas kahwin tersebut. Ini tidak lagi menjadi persoalannya. Masalahnya ketika ini, mampukah pihak lelaki untuk menyediakan wang hantaran yang tinggi itu? Kebanyakan lelaki akan menjawab tidak kerana mereka tidak mampu. Bagi yang mampu, itu tidak menjadi masalah besar.
Purata gaji di Malaysia ini atau dalam kadar kehidupan sederhana di Malaysia ini antara RM1000-RM3000 sebulan. Jumlah wang hantaran kebanyakannya berjumlah antara RM4000-RM10000. Rasionalkah jumlah ini? Itu baru sahaja wang hantaran. Belum dicampur dengan urusan kenduri kendara. Mungkin nilai sehingga RM10000 itu dicampur dengan nilai urusan kenduri, tetapi melalui pengamatan yang saya lihat, tidak banyak urusan kenduri dicampur dengan jumlah wang hantaran. Duit urusan kenduri selalunya dikira kemudian. Tidakkah ini semakin membebankan pihak lelaki?
Tujuan Islam mengalakkan pengikutnya berkahwin adalah untuk melahirkan zuriat yang dapat membantu agama Islam berkembang dan mengharmonikan bumi ini. Jika hantaran yang terlalu tinggi dan menyebabkan orang lelaki tidak dapat menyediakannya, tidakkah ini akan mengalakkan gejala sosial yang lebih teruk berlaku? Ibu bapa sering menyalahkan anak mereka kerana terlibat dalam masalah sosial, tetapi bagaimana pula dengan membuat hantaran yang tinggi? Tidakkah perkara ini akan menyebabkan perzinaan berlaku, kahwin lari, dan sebagainya?
Hayatilah nilai-nilai murni dalam Islam. Islam tidak membebankan penganutnya, malah membuatkan kehidupan bertambah selesa jika kita mengikuti apa yang telah ditetapkan dalam Islam. Pesan saya kepada ibu bapa pihak perempuan, tidaklah salah untuk meletakkan hantaran, tetapi biarlah berpada-pada dan tidak terlalu membebankan pihak lelaki. Apa yang penting adalah mas kahwinnya, bukan pada hantaran. Kenapa kita perlu menganggu pembinaan ‘masjid’ sedangkan pembinaan ‘masjid’ itu dapat diselesaikan dengan cara yang mudah? Fikir-fikirkanlah…
Sokong garis panduan elak hantaran tinggi

SEREMBAN: Sikap sebahagian besar masyarakat hari ini yang mengadakan majlis perkahwinan besar-besaran untuk menunjuk-nunjuk walaupun ia menyimpang daripada tuntutan agama menjadi punca wang hantaran perkahwinan tinggi.
Timbalan Mufti Negeri Sembilan, Mohd Zaidi Ramli, berkata sikap itu sukar dikikis sekali pun ia bukan tuntutan Islam.
Beliau berkata, satu garis panduan wajar diwujudkan bagi menangani masalah hantaran perkahwinan tinggi, namun hakikatnya terpulang kepada perbincangan dan kemampuan pasangan pengantin.
“Masalah wang hantaran perkahwinan tinggi tidak timbul di negeri ini kerana sistem adat yang diamalkan menekankan kepada perbincangan dan permuafakatan antara kedua-dua pihak sebelum ditentukan,” katanya.
Beliau berkata, penentuan wang hantaran harus bersesuaian dengan keadaan hari ini kerana perkahwinan di kawasan bandar sudah tentu berbeza dengan di kampung.
Mohd Zaidi berkata, beliau amat bersetuju dengan pandangan mufti lain untuk mengadakan garis panduan mengenai wang hantaran bagi mengelak pelbagai masalah.
“Apa yang penting memahami prinsip perkahwinan itu sendiri iaitu untuk melahirkan zuriat,” katanya mengulas pandangan bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Prof Datuk Dr Mohamad Yusof Hussain supaya Jabatan Agama Islam Negeri mewujudkan garis panduan berhubung hantaran perkahwinan tinggi.
Sumber: Harian Metro Online